Khamis, 19 September 2019 | 1:12pm
Lima rakan termasuk remaja berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang lelaki, awal bulan ini. - NSTP/Muhamaad Razis Ismail

5 rakan dituduh membunuh

PASIR PUTEH: Lima rakan termasuk remaja berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang lelaki, awal bulan ini.

Tertuduh, Sahrulnizan Ismail, 20; Muhammad Rusyaidi Sharin, 21; Wan Mohamad Adzim Syazwan Wan Bakar, 23; Mohd Nur Firdaus Zulkipli, 25, dan remaja berkenaan mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Mohd Aiman Suaidi Samsudin, 26, di Sungai Kampung Puyu, Cherang Ruku, Pasir Puteh pada jam 5 pagi hingga 8 pagi, 2 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar manakala hanya remaja berusia 17 tahun diwakili peguam Aminudin Mohamad.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemui terapung dalam anak sungai berdekatan jambatan Kampung Puyu, Jalan Semerak, di sini.

Mangsa ditemui penduduk kampung, dipercayai meninggal dunia beberapa hari sebelum itu berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak.

Polis tidak menolak kemungkinan lelaki yang dibunuh dan dibakar kerana mengganggu teman wanita salah seorang suspek.

Berita Harian X