Khamis, 19 September 2019 | 10:57am
ABANG sulung, Mohamad Izat Danial, 23, (kanan) yang menjadi penganti arwah papa dan umminya yang maut dalam kemalangan pada 16 Ogos lalu bergambar dengan adik beradiknya sebagai kenangan sebelum meneruskan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuala Lumpur ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Rahmat, Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

Abang berjanji bantu adik

GUA MUSANG: “Tanpa arwah papa dan mama, berat hati untuk tinggalkan empat adik, namun saya perlu kuatkan hati untuk ubah nasib keluarga,” kata Mohamad Izat Danial Che Azmi.

Mohamad Izat, 23, adalah seorang daripada lima anak pasangan Che Azmi Che Hamzah, 48, dan Nor Hayati Mohamed, 43, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya di sini, 16 Ogos lalu.

Kemalangan turut menyebabkan pemandu van Toyota Hiace, Zulfaizan Muhamad, 43, berasal dari Pasir Puteh, maut.

Mohamad Izat berkata, dia perlu meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selepas kematian ibu bapanya, manakala empat adiknya berusia tujuh hingga 18 tahun tinggal bersama ibu saudara, Norani Mohamed, 54, di Kampung Rahmat di sini.

“Sebagai abang sulung, saya perlu menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa mereka.

“Sudah tentu saya berat hati untuk tinggalkan mereka, namun demi masa depan, saya perlu kuatkan hati dan mereka juga perlu belajar berdikari.

“Saya akan pegang pesanan arwah papa dan mama sebelum ini supaya belajar bersungguh-sungguh untuk bantu keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Izat berkata, beliau turut terhutang budi kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan bagi membolehkan dirinya meneruskan pengajian di universiti.

“Bantuan orang ramai untuk saya meneruskan pengajian sudah lebih daripada mencukupi dan bertekad menggenggam segulung ijazah. Sumbangan itu turut diagihkan kepada empat lagi adik untuk persekolahan mereka,” katanya.

Berita Harian X