Rabu, 18 September 2019 | 8:02pm
KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan gambar isteri kepada J Vijayaratnam, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. - Foto Sairien Nafis

2 lelaki terbabit kes tembak di Rawang anggota kongsi gelap

SHAH ALAM: Dua daripada tiga lelaki yang mati ditembak polis ketika menaiki kereta Volkswagen Polo di Batu Arang, Rawang, dekat sini, Sabtu lalu, disahkan ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08 di Rawang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya yang membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdasarkan kepada cap jari kedua-dua individu yang ditembak itu, mengesahkan ia milik S Mahendran, 23, dan G Thavaselvam, 31.

Katanya, pengecaman terhadap seorang lagi lelaki dikenali sebagai J Vijayaratnam, 40, seorang warganegara Sri Lanka, dilakukan oleh anak tirinya manakala seorang wanita yang dikatakan hilang adalah isteri kepada warga Sri Lanka berkenaan.

“Hasil siasatan kami mendapati Thavaselvam dan Mahendran adalah ahli kongsi gelap 08 di Rawang yang terbabit dengan lebih 15 kes samun.

“Kedua-dua mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu Thavaselvam mempunyai 23 rekod jenayah lampau terutama berkaitan samun, selain diletakkan bawah pengawasan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan menjadi individu dikehendaki di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor manakala Mahendran pula mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Warga Sri Lanka itu pula mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod kemasukan warga Sri Lanka berkenaan ke negara ini.

Bagaimanapun, katanya, semakan di Jabatan Imigresen menunjukkan ada rekod kemasukan wanita yang masih hilang itu.

“Yang ada rekod isteri dia, pada 28 Ogos tahun ini sama ada dari UK (United Kingdom) atau Sri Lanka, kita sedang siasat. Si mati (suami wanita Sri Lanka) pernah mengikuti program pemutihan oleh Jabatan Imigresen pada 2013 kerana menetap lebih masa,” katanya.

Pada sidang media sama, Noor Azam sekali lagi menafikan wanita itu ada di dalam kereta Volkswagen Polo bersama tiga lelaki yang ditembak mati ketika kejadian.

“Pihak kami terima laporan polis berhubung kehilangan seorang, G Moganambal, 35, yang beralamat di Taman Bayu Permai Rawang.

“Kami sedang jalankan siasatan dan memerlukan bantuan orang ramai supaya dapat mengesan wanita ini untuk membantu siasatan kerana tiba-tiba kejadian ini berlaku, dia hilang.

“Apa kami peroleh, yang mati hanya tiga orang sahaja, memang tiada wanita terbabit. Saya menafikan sekeras-kerasnya (seorang wanita ada bersama),” katanya.

Ditanya sama ada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sudah mengadakan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu, Noor Azam berkata, sehingga ini pihak itu belum berhubung dengannya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan SUHAKAM membuat semakan kerana polis

bersikap telus manakala pihaknya hanya mengetahui mengenai beberapa ahli keluarga tiga lelaki yang maut itu membuat laporan kepada SUHAKAM meminta siasatan penuh dilakukan berhubung kejadian berkenaan, melalui laporan media.

Berita Harian X