Rabu, 18 September 2019 | 4:17pm
Ab Rashid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM11,500 dengan penahanan sepasang pengantin baru di sebuah rumah di Kampung Bunohan. - NSTP/Zaman Huri Isa

Bulan madu dalam lokap

TUMPAT: Pasangan pengantin yang baru seminggu berkahwin ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bunohan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, turut dirampas 73 gram dadah dipercayai syabu, tiga botol air ketum, 16 botol ubat batuk jenis Kodein dan lima pil Eramin 5.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata penahanan itu dibuat oleh sepasukan anggota dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah terbabit menemui 73 gram dadah dipercayai syabu, tiga botol air ketum, 16 botol ubat batuk jenis Kodein dan lima pil Eramin 5 yang bernilai RM11,500.

“Turut disita wang tunai berjumlah RM4,000, sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai baru dibeli suspek secara tunai,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Ab Rashid berkata, suspek yang berumur 38 dan 40 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu di sekitar Tumpat dan Kota Bharu.

Beliau berkata, suspek juga memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan yang dibuat mendapati mereka positif dadah jenis Methampethamine.

“Kedua-dua suspek akan ditahan reman selama enam hari bermula esok sehingga 24 September ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan mengenai dua beradik yang berusia 10 dan 11 tahun yang didakwa menyebabkan kebakaran 12 rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong, Wakaf Bharu, Ab Rashid berkata, tempoh tahanan reman akan disambung lagi.

Katanya, siasatan lanjut sedang dibuat namun, sehingga kini masih tiada pengakuan dibuat oleh dua kanak-kanak itu yang kini ditahan di lokap juvana Pengkalan Kubor.

“Sehingga kini mereka sudah ditahan reman selama tiga hari bermula 16 September lalu dan akan disambung beberapa hari lagi untuk meneruskan siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dibuat dan turut membabitkan kerjasama dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Berita Harian X