Rabu, 18 September 2019 | 4:11pm
AMHARI Efendi Nazaruddin (kiri) hadir pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Amhari mengaku terima duit poket dari Jho Low

KUALA LUMPUR: Maklumat diberikan Datuk Amhari Efendi Nazarudin menjadi punca sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah kediaman milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Amhari Efendi yang juga bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau mendedahkan rancangan Jho Low berkaitan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada awal tahun 2008 kerana perkara itu pernah dibincangkan di kediaman ahli perniagaan terbabit.

Menceritakan lanjut mengenai kunjungan itu, Amhari Efendi berkata, beliau mengunjungi rumah Jho Low sebanyak dua kali dan dibawa ke bahagian dapur.

Menurut saksi. di kawasan dapur itu terdapat sebuah papan putih yang menjadi tempat Jho Low melakar apa yang sedang mereka bincangkan, iaitu mengenai TIA.

Apabila peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membacakan alamat kediaman itu yang terletak di Jalan Kia Peng, di sini, saksi kelapan pendakwaan itu menjawab, “ya.”

“Kediaman Jho Low saya dedahkan ketika memberi keterangan kepada SPRM tahun lalu.

“Saya ditahan SPRM tidak lama selepas kembali daripada percutian bersama keluarga di Thailand dan Kemboja pada Julai tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Amhari Efendi berkata, beliau pernah memperoleh wang poket beribu dolar Amerika Syarikat (AS) daripada Jho Low ketika mengikuti lawatan kerja di Amerika Syarikat dan London.

Beliau berkata, lawatan kerja itu turut disertai ahli perniagaan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak ingat jumlah wang yang diberi Jho Low sepanjang mengikuti lawatan kerja itu.

Muhammad Shafee: Adakah Jho Low beri kamu duit poket ketika mengikuti lawatan kerja?

Amhari: Ya. Pernah ketika ke USA (Amerika Syarikat) dan London.

Muhammad Shafee: Berapa jumlah yang Jho Low beri?

Amhari: Tidak ingat

Muhammad Shafee: Secara kasar?

Amhari: Lebih kurang dalam ribu dolar (AS$)

Amhari Efendi berkata, beliau tidak mengetahui sekiranya Jho Low ada menghulurkan duit poket kepada pegawai lain kerana beliau menerima wang berkenaan secara sembunyi.

“Jho Low menghulur duit poket kepada saya bukan dalam keadaan terbuka,” katanya.

Berita Harian X