Rabu, 18 September 2019 | 12:42pm
Saksi bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Afendi Nazaruddin hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kualla Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Istana persoalkan peranan Jho Low

KUALA LUMPUR: Peranan ahli perniagaan dalam buruan, Low Tark Jho atau Jho Low dalam urusan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dipersoalkan seorang pegawai Istana Terengganu.

Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, dalam keterangannya berkata, pegawai kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin (ketika itu) menimbulkan rasa sangsi terhadap Jho Low pada mesyuarat TIA di Bangunan Parlimen pada 30 Jun 2009.

Amhari Efendi yang disoal balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pegawai Istana itu khuatir sekiranya nama Sultan Terengganu disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tambah saksi kelapan pendakwaan itu, mesyuarat itu turut dihadiri wakil Yang di-Pertuan Agong, Wan Ismail Wan Nik, wakil Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Terengganu dan Ketua Pegawai Eksekutif TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Amhari Efendi berkata, sepanjang mesyuarat diadakan beliau yang hadir mewakili Najib tidak bersuara dan memberi sebarang pendapat dalam perbincangan itu.

Muhammad Shafee: Sebagai wakil Najib dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) kenapa kamu tidak memberi pendapat berhubung perkara dibangkitkan?

Amhari: Walaupun saya mewakili PMO tetapi kedudukan saya ketika itu hanya sebagai pegawai junior berbanding pegawai lain yang lebih senior.

Muhammad Shafee: Adakah kamu tidak rasa kamu juga berhak mengeluarkan pendapat kerana kamu adalah pegawai yang mewakili Najib?

Amhari: Sudah menjadi budaya kakitangan awam bahawa pegawai muda hanya perlu berdiam diri dan mengikut arahan.

Muhammad Shafee menyatakan bahawa jawapan bekas pegawai khas Najib itu hanya andaian semata-mata kerana beliau (Muhammad Shafee) juga pernah menjadi kakitangan kerajaan sebelum ini.

Amhari Efendi turut menjelaskan bahawa beliau tidak membangkitkan isu itu kepada Najib berikuran menyangka Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah tahu mengenainya.

Katanya, ia berikutan Wan Abdul Aziz yang mempengerusikan mesyuarat itu akan memberi taklimat mengenainya kemudian.

Amhari Efendi berkata, beliau tidak bertanya kepada Wan Abdul Aziz sama ada hal itu sudah dimaklumkan kepada Najib atau tidak.

Saksi bagaimanapun tidak bersetuju apabila Muhammad Shafee menyatakan beliau (saksi) seolah-olah sengaja berdiam diri apabila isu mengenai Jho Low ditimbulkan.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan bahawa kamu berdiam diri selepas timbul rasa sangsi dan curiga terhadap pembabitan Jho Low kerana hubungan rapat kamu dengannya (Jho Low)?

Amhari: Tidak setuju.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kamu berdiam diri kerana kamu mendapat faedah dari hubungan rapat dengan Jho Low?

Amhari: Tidak setuju.

Berita Harian X