Rabu, 18 September 2019 | 10:33am
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hadir ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Najib mohon bicara dihentikan lebih awal

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihentikan lebih awal pada jam 11.30 pagi bagi membolehkan beliau berjumpa doktor pakar berhubung masalah matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kesembilan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sini.

Muhammad Shafee berkata, masalah sakit mata yang dihadapi anak guamnya barangkali disebabkan keadaan jerebu ketika ini.

“Saya memohon mahkamah membenarkan anak guam saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan susulan matanya.

“Simptomnya sama ketika beliau mengalami konjunktivitis. Saya syak ia disebabkan jerebu.

“Beliau (Najib) perlu menghadiri temu janji di klinik mata kira-kira jam 11 pagi ini,” katanya.

Tambah Muhammad Shafee Najib selain mata berair, anak guamnya turut berdepan masalah hidung berair dan idea untuk berjumpa doktor bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.

Collin turut mengarahkan perbicaraan bersambung semula pada jam 2.30 petang.

Mahkamah kemudian meneruskan dengan mendengar keterangan saksi kelapan pendakwaan, bekas pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang disoal balas Muhammad Shafee.

Berita Harian X