Selasa, 17 September 2019 | 11:33pm
(DARI kiri) Ratu Rania, Bono dan Bernard Arnault.

Ratu Rania, Bono dicadangkan pemegang amanah TIA

KUALA LUMPUR: Permaisuri Jordan, Ratu Rania dan penyanyi kumpulan U2, Bono, adalah nama yang dicadangkan untuk dilantik sebagai anggota pemegang amanah Yayasan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Selain itu, Ketua Eksekutif Louis Vuitton, Bernard Arnault, turut dicadangkan berada dalam senarai yang diusulkan dalam mesyuarat TIA pada Mac 2009.

Senarai nama itu didedahkan bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dalam sesi soal balas pada hari kelapan perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas perdana menteri itu.

Amhari berkata, nama itu dicadangkan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Taek Low atau dikenali sebagai Jho Low.

Peguam bela, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mencadangkan bahawa semua nama besar yang dicadangkan itu langsung tidak mengetahui berhubung perkara itu.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan nama itu dicadang Jho Low supaya kerajaan negeri Terengganu dan Persekutuan kagum walaupun realitinya ia tidak menjadi kenyataan?

Amhari: Saya tidak tahu

Muhammad Shafee: Pernahkah kamu cuba dapatkan maklumat kerana saya pasti kami terkejut selepas mendengar nama itu?

Amhari: Seingat saya cuma Bernard Arnault. Saya tidak bertanya lebih lanjut mengenai perkara itu daripada Jho Low.

Muhammad Shafee: Pernahkah terlintas di fikiran kamu bahawa Jho Low cuba menipu?

Amhari: Tidak

Berita Harian X