Isnin, 16 September 2019 | 11:25am
ANGGOTA forensik melakukan siasatan seorang lelaki maut selepas ditikam rakannya dalam kejadian berhampiran menara jam hadapan Kompleks Bukit Jambul. - Foto Hadzlihady Hassan

Maut ketika mahu tuntut hutang

GEORGETOWN: Hanya kerana mahu menuntut hutang, seorang lelaki maut ditikam rakannya dalam kejadian berhampiran menara jam di hadapan Kompleks Bukit Jambul, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, Mohamad Nurulhudin Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah selepas ditikam pada dada kanan.

Sumber memberitahu BH, mangsa bertemu dengan suspek di hadapan premis itu untuk berbincang mengenai masalah hutan antara mereka sebelum berlaku pertengkaran.

“Mangsa dikatakan mahu menuntut hutang daripada suspek sebelum berlaku pertengkaran. Suspek yang berang kemudian terus menikam dada kanan mangsa.

“Tikaman itu membuatkan mangsa rebah dan suspek bersama seorang lagi rakannya kemudian melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian membuang pisau digunakan untuk menikam mangsa berhampiran sebuah restoran kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.

“Pisau sepanjang 28 sentimeter itu ditemui seorang wanita yang kemudian menyerahkannya kepada polis manakala sarung senjata itu ditemui berhampiran lokasi kejadian.

“Hasil semakan melalui kamera litar tertutup juga mendapati suspek menikam mangsa dan terus melarikan diri bersama seorang rakannya,” katanya.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti identiti dua suspek terbabit yang berusia 33 dan 35 tahun dan kini sedang memburu mereka.

“Semakan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan juga dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X