Sabtu, 14 September 2019 | 9:18am
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain (duduk kanan) meninjau dua anggota PPDA Jitra Yan melakukan selaman di lokasi pencarian mangsa lemas. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Lelaki tenggelam ditemui lemas

JITRA: Lelaki yang hilang selepas terjun di kawasan pintu air Tandop Cegar, Jalan Osman Aroff, di sini, kelmarin, disahkan lemas.

Mayat K Sasitaran, 22, ditemui terapung di bahagian tepi kawasan berkenaan ketika anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra melakukan pemantauan di lokasi kejadian jam 7.10 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata mayat berkenaan ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

Beliau berkata, operasi turut disertai Pasukan Khas Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM negeri.

“Operasi penyelaman dilakukan sejak kelmarin iaitu pada hari mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa dipercayai terjun dalam sungai berkenaan sebelum tenggelam secara tiba-tiba pada jam 4.20 petang dan kejadian itu disaksikan rakan mangsa.

Berita Harian X