Khamis, 12 September 2019 | 11:52pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer M40.4 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, Machang, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

Suri rumah maut kemalangan

MACHANG: Seorang suri rumah maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang diboncengnya merempuh sebuah kereta di Kilometer M40.4 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa Siti Nor Zuraiha Mamat, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Mohd Redzwan Mohd Rudin, 33, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy, berkata ketika kejadian, pemandu PERODUA Myvi berusia 26 tahun dalam perjalanan ke stesen minyak di Bypass Machang.

Katanya, selepas mendapati tiada kenderaan di kedua-dua arah, pemandu membelok masuk simpang untuk ke stesen minyak itu.

“Bagaimanapun ketika membelok, secara tiba-tiba datang sebuah Yamaha YZF-R25 dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai menyebabkan penunggang motosikal terbabit tidak sempat mengelak, sebelum merempuh pintu belakang sebelah kanan kereta itu.

“Pelanggaran itu mengakibatkan kereta berpusing, manakala pembonceng motosikal berkenaan terpelanting.

“Pembonceng motosikal maut di tempat kejadian, manakala suaminya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X