Khamis, 12 September 2019 | 10:14pm

Padah gaduh selepas kemalangan

MELAKA: Seorang tukang masak cedera di dada, manakala seorang jurujual kenderaan luka pada tangan selepas terbabit dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah pasar raya di Batu Berendam, di sini seperti yang tular di media sosial petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, tukang masak lelaki berusia 37 tahun berkenaan dikatakan terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain sebelum cuba melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata hasil siasatan mendapati kejadian bermula apabila tukang masak yang memandu kereta jenis Honda Airwave melanggar sebuah Perodua Viva dipandu wanita berusia 31 tahun sebanyak dua kali.

“Kejadian berlaku di Jalan Dato Md Zin berhampiran sebuah stesen minyak dipercayai akibat brek kereta tukang masak itu tidak berfungsi dengan baik.

“Insiden itu menimbulkan kemarahan pemandu Perodua Viva itu bersama seorang penumpang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai jurujual kenderaan, lalu bertindak mengejarnya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, kereta dipandu tukang masak itu kemudian memasuki arah bertentangan dan bergesel dengan sebuah lagi kenderaan jenis Nissan Almera dipandu jurulatih wushu lelaki berusia 27 tahun.

“Tukang masak itu terus memecut sehingga tiba di hadapan sebuah pasar raya di Batu Berendam dan dihalang pemandu Perodua Viva tadi menyebabkan berlaku satu lagi insiden pelanggaran.

“Penumpang lelaki yang menaiki Perodua Viva itu kemudian keluar dari kereta dan cuba mengambil kunci kenderaan Honda Airwave berkenaan menyebabkan berlaku pergaduhan. Kejadian dilihat oleh orang ramai yang kemudian menghubungi Balai Polis Batu Berendam untuk meminta bantuan,” katanya.

Hasan Basri berkata, pergaduhan mengakibatkan tukang masak berkenaan cedera di dada, manakala penumpang lelaki luka pada pergelangan tangan.

“Kesemua individu yang terbabit dalam insiden ini dibawa ke Balai Polis Batu Berendam untuk tindakan lanjut. Sampel darah pemandu Honda Airwave dan pemandu Perodua Viva turut diambil untuk ujian kimia.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A)/45 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

6995 dibaca
Berita Harian X