Khamis, 12 September 2019 | 4:27pm
KETUA Polis negeri, Datuk T Narenasagaran (tiga dari kanan) hadir pada Majlis Pelancaran e-basikal dan Penugasan Strategik Polis Pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, hari ini. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Polis terus buru individu jual MyKad

GEORGETOWN: Polis percaya ada individu masih bebas tetapi terbabit dengan sindiket penjualan MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga asing.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran, berkata siasatan akan diteruskan kerana kes terbabit memerlukan tempoh masa lama bagi polis membongkar modus operandi yang digunakan.

Beliau berkata, perkembangan lanjut sama ada memperoleh tangkapan terbaharu akan dimaklumkan dari masa ke masa.

“Pihak polis sudah menjalankan siasatan berhubung sindiket ini sejak tiga bulan lalu dan hasilnya kita berjaya menahan 20 individu.

“Daripada semua yang ditahan itu, pihak Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk menuduh enam suspek, termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai dalang utama kegiatan berkenaaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang kepada warga asing pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau ditemui pada Majlis Pelancaran e-basikal dan Penugasan Strategik Polis Pelancong.

Hari ini, enam individu berusia dalam lingkungan 30 ke 60-an dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga asing.

Mereka didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 466 Kanun Keseksaan.

BH melaporkan kejayaan polis dan jabatan kerajaan lain membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di negeri ini yang didalangi seorang pegawai JPN negeri.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia membuat laporan polis berikutan permohonan seorang wanita warga asing yang cuba memohon pasport negara ini dengan mengemuka MyKad sah, namun tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, Mei lalu.

Polis melalui operasi khas berjaya membongkar sindiket berkenaan yang dikatakan mengaut keuntungan antara RM100,000 hingga RM600,000 hasil jualan MyKad berkenaan kepada warga asing.

2439 dibaca
Berita Harian X