Khamis, 12 September 2019 | 4:24pm

Pengasuh tampar bayi didenda RM12,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menampar bayi berusia enam bulan, pada Ogos lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah memerintahkan hukuman denda itu dikenakan terhadap tertuduh warga Indonesia, Anisah Abdullah, 42.

Tertuduh juga diperintahkan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Anisah didakwa menampar pipi bayi perempuan berusia enam bulan sehingga mendatangkan kecederaan terhadapnya.

Kejadian itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Setapak Jaya Baru, di sini, antara jam lapan pagi hingga tiga petang, pada 27 Ogos 2019.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Anisah yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepadanya kerana dia mempunyai tanggungan enam anak masing-masing empat di Indonesia dan dua lagi di Malaysia.

“Saya tidak sengaja buat (tampar) kerana berada dalam tertekan kerana menghidap kanser mulut tahap empat.

“Saya tidak perasan ada kesan (tampar). Kalau saya tahu saya minta maaf awal-awal dengan ibu mangsa,” katanya.

Anisah berkata, tujuan sebenar dia mengasuh bayi itu kerana terdesak dan memerlukan wang untuk menanggung keluarga dan suami.

“Saya perlukan duit sebab anak di Indonesia nak makan, sini pun nak makan. Jadi saya ambillah budak itu. Lagipun, tidak pernah terjadi perkara sebegini kerana saya pernah jaga tiga bayi sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana ia membabitkan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Faktor yang perlu diambil kira ialah kesalahan yang dilakukan adalah terhadap seorang bayi yang tidak tahu apapun.

“Kesalahan yang dilakukan itu sama ada terdapat kesan lebam atau tidak bukan menjadi faktor pembelaan berikutan kesalahan itu sudah berlaku,” katanya.

Mengikut fakta kes, laporan polis yang dibuat bapa bayi itu menyatakan bahawa pada hari kejadian anaknya berada dalam keadaan baik ketika dihantar ke rumah pengasuh itu.

Namun, ketika diambil pada jam tiga petang, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam di pipi kiri mangsa yang menyerupai kesan jalur seperti ditampar.

Mangsa kemudian di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan. Hasil rawatan mendapati terdapat kesan lebam bahagian pipi kiri akibat dipukul dan ia adalah kecederaan baharu.

Berita Harian X