Khamis, 12 September 2019 | 12:42pm
AIR ketum serta peralatan memasak yang dirampas polis ketika menjalankan Op Tapis di Kuala Klawang, Jelebu. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

Wadar penjara ditahan proses air ketum

JELEBU: Seorang wadar penjara ditahan kerana menjalankan kegiatan memproses air ketum di rumahnya di Kuala Klawang di sini, malam tadi.

Lelaki itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, pada jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata serbuan Op Tapis itu berdasarkan maklumat orang awam mengenai kegiatan penagihan dadah di lokasi berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, lelaki berusia 36 tahun itu sedang leka memasak air ketum di tepi rumahnya.

“Pemeriksaan lanjut menemui air ketum yang sedang dimasak di dalam periuk dianggarkan sebanyak 14 liter. Polis turut menemui daun ketum di dalam plastik dianggarkan seberat satu kilogram,” katanya ketika ditemui di IPD Jelebu di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, susulan penemuan itu polis turut merampas tong gas petroleum cecair (LPG) dan dapur yang digunakan suspek untuk memproses air ketum berkenaan.

Katanya, soal siasat terhadap suspek mendapati dia mendapatkan bekalan daun ketum itu daripada seorang lelaki di Kampung Triang, di sini, dengan harga RM50 sekilogram.

“Suspek juga mengaku aktif melakukan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

1234 dibaca
Berita Harian X