Khamis, 12 September 2019 | 11:48am
TUKANG paip, Mahmud Rahman Shariff bersama anaknya, Mahnas Hibatullah Syazana berusia empat tahun tidak sabar menunggu kepulangan Habibuneesa ke Malaysia. - Foto Rosman Shamsudin

Isteri tukang paip dilapor diculik di India selamat

BEHRANG: Isteri tukang paip yang dilaporkan hilang, dipercayai diculik di India pada 29 Jun lalu, ditemui selamat di negara berkenaan semalam dan kini dalam proses dibawa pulang ke Malaysia.

Difahamkan, Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, dipercayai diculik oleh seorang lelaki di negara berkenaan namun dibebaskan selepas lelaki itu dikatakan gagal mendapatkan wang tebusan sebanyak RM10,000 daripada keluarga wanita terbabit.

Sebaik dibebaskan, Habibuneesa ke Pejabat Konsul Malaysia di Chennai untuk mendapatkan bantuan sebelum memberi keterangan dan disoal siasat lima jam oleh polis India.

Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santharasekaran, berkata pihaknya dihubungi Habibuneesa semalam yang memaklumkan dia sudah dibebaskan oleh lelaki yang menahan dan mengurungnya.

Katanya, Habibuneesa memaklumkan dia kini tinggal di sebuah asrama wanita sementara menunggu proses berkaitan kes kehilangannya selesai dengan polis India.

“Walaupun Wisma Putra memaklumkan proses membuat pasport sementara hanya mengambil masa satu hari, pihak berkuasa di India menetapkan dua minggu.

“Kalau hendak cepat, suaminya, Mahmud Rahman Shariff, 47, perlu ke India dan bawa pasport Habibuneesa, tetapi kita sedia maklum Mahmud hanya tukang paip dan tentu tidak mampu ke sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, beliau sedang berusaha mencari sumber kewangan untuk membawa Mahmud ke India agar proses membawa pulang isterinya dapat dipercepatkan.

Dr Santharasekaran yang selama ini menjadi orang tengah dalam usaha membantu mencari Habibuneesa, berterima kasih kepada semua pihak di Malaysia dan India yang bekerjasama sehingga wanita terbabit berjaya ditemui dengan selamat.

Sementara itu, Mahmud ketika dihubungi, bersyukur apabila mendapat berita isterinya kini selamat dan menunggu masa pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya bersyukur kepada Tuhan dengan berkat doa kami sekeluarga dan rakyat Malaysia, isteri saya selamat dibebaskan dan kini menunggu masa untuk pulang.

“Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan India serta badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mencari isteri saya sepanjang dia dilaporkan hilang sejak 29 Jun lalu,” katanya.

BH pada 3 Julai lalu melaporkan Habibuneesa yang pulang ke India selama seminggu untuk melawat keluarganya, disedari hilang kira-kira jam 3 pagi waktu negara berkenaan pada 29 Jun lalu.

Wanita itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kakaknya, Nur Jihan serta anak kakaknya berusia empat tahun ke India pada 24 Jun untuk melawat saudara-mara mereka di Pandaravadai, Panapasam, Tamil Nadu.

Bimbang dengan keselamatan Habibuneesa, Mahmud membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya di Balai Polis Behrang pada 1 Julai lalu dan berjumpa Dr Santhasekaran untuk bantuan.

Dr Santhasekaran kemudian membawanya ke Wisma Putra untuk meminta bantuan Kerajaan Malaysia menghubungi Kerajaan India bagi membantu mencari Habibuneesa.

2378 dibaca
Berita Harian X