Khamis, 12 September 2019 | 11:22am
POLIS menahan lima individu, termasuk seorang wanita, susulan insiden pergaduhan membabitkan kira-kira 30 orang di Jeti Teluk Baru, Jalan Teluk Baru, di Langkawi, petang semalam.

5 ditahan insiden pergaduhan pelanggan, kakitangan syarikat pelancongan

LANGKAWI: Polis menahan lima individu, termasuk seorang wanita, susulan insiden pergaduhan membabitkan kira-kira 30 orang di Jeti Teluk Baru, Jalan Teluk Baru, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 50 tahun itu ditahan pada jam 1 pagi tadi di kawasan sekitar pulau ini.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan tempahan aktiviti lawatan ke pulau (island hopping) antara sekumpulan pelanggan dengan kakitangan syarikat pelancongan.

“Berikutan itu, dikatakan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak sehingga menyebabkan tercetus insiden tumbuk-menumbuk membabitkan kira-kira 30 individu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rakaman video berdurasi enam minit 25 saat berhubung kejadian berkenaan tular melalui media sosial.

Dalam insiden kira-kira jam 2 petang itu, dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan ringan, iaitu bengkak di hidung dan pipi serta luka di dahi.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, keadaan ketika kejadian turut menjadi tegang apabila ada suspek didakwa mengambil kayu untuk memukul pihak lawan, namun tiada senjata berbahaya digunakan.

“Hasil soal siasat dilakukan, kelima-lima suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan tahanan reman ke atas mereka akan dibuat, hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan,” katanya.

2203 dibaca
Berita Harian X