Khamis, 12 September 2019 | 10:50am
PENUNGGANG dan pembonceng motosikal, Muhamad Husni Muhamad Anuar, Nur Aina Zafirah Abdul Malek maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Cameron Highlands - Ipoh, berhampiran Kampung Pos Raya semalam. - Foto ihsan bomba

2 remaja maut motosikal bertembung kereta, lori

IPOH: Dua remaja maut apabila motosikal ditunggang mereka terbabit nahas dengan sebuah kereta dan lori di Jalan Cameron Highlands-Ipoh berhampiran Kampung Pos Raya, di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.20 petang, penunggang motosikal, Muhamad Husni Muhamad Anuar, 19, dan pemboncengnya, Nur Aina Zafirah Abdul Malek, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Ipoh, manakala kereta dan lori terbabit pula dari arah bertentangan.

Setiba di lokasi kejadian, beliau berkata, kereta terbabit yang berada di belakang lori dikatakan cuba memotong kenderaan berat itu sebelum merempuh motosikal yang berada di laluan bertentangan.

“Berikutan perlanggaran itu, kereta berkenaan terbabas ke dalam semak di sebelah kiri jalan, sementara penunggang dan pembonceng motosikal pula terjatuh ke jalan.

“Pemandu lori terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh penunggang dan pembonceng motosikal itu. Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Akibat nahas itu, Mohd Nordin berkata, pemandu kereta terbabit yang identitinya belum dikenal pasti, cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori berusia 59 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

3211 dibaca
Berita Harian X