Khamis, 12 September 2019 | 12:31am
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. NSTP/Azhar Ramli.

Polis kesan pembeli, pemilik 8 lagi MyKad palsu

KUALA LUMPUR: Polis memburu saki-baki sindiket mendapatkan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri secara palsu, dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Setakat ini 20 suspek yang ditahan adalah mereka yang terbabit dalam membuat, memperoleh, memberi, menjual dan memiliki satu dokumen perjalanan diri palsu dengan tujuan memudahkan aktiviti keluar dan masuk ke negara ini oleh individu bukan warganegara Malaysia atau permastautin tetap (PR).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata semua 20 suspek terbabit dipercayai terbabit dalam pengeluaran tiga MyKad.

“Berdasarkan siasatan dijalankan pada masa ini, terdapat lapan lagi MyKad palsu yang dimiliki oleh warga asing masih belum dapat dikesan.

“Justeru, siasatan lanjut sedang dilakukan secara terperinci bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti warga asing yang memiliki MyKad berkenaan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Huzir berkata, berdasarkan modus operandi sindiket berkenaan, ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia dan kemudian menghubungi suspek utama yang sudah ditahan iaitu pegawai kanan JPN Pulau Pinang.

“Pegawai berkenaan akan menguruskan sijil kelahiran dan MyKad secara tidak sah dan semasa proses mengemas kini data dilakukan, pegawai berkenaan akan mengarahkan beberapa kakitangan JPN lain untuk membantunya.

“Kita tidak menolak kemungkinan kakitangan JPN lain tidak menyedari sama ada rekod yang mereka masukkan adalah sah atau tidak,” katanya.

Huzir berkata, sindiket terbabit memperoleh bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing yang ingin memiliki MyKad, dan ianya bergantung kepada permintaan daripada pihak sindiket.

Sepanjang operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Polis Kontinjen Pulau Pinang, pihak polis merampas 34 pasport, 11 keping kad pengenalan, lima salinan sijil kelahiran, enam salinan kad pengenalan, tiga borang permohonan kad pengenalan, empat buku daftar pesuruhjaya sumpah, dokumen JPN dan wang tunai lebih RM38,000.

Turut dirampas, 38 unit telefon bimbit, enam komputer riba, 19 pemacu komputer dan enam kereta.

Pada masa ini, semua tangkapan masih direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari.

Berita Harian X