Rabu, 11 September 2019 | 4:55pm
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto Azhar Ramli

Laporan polis Dr Zakir Naik: 3 diminta hadir ke Bukit Aman minggu ini

KUALA LUMPUR: Polis sudah meminta tiga lagi individu, termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, hadir memberi keterangan di Bukit Aman, minggu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ia bagi membantu siasatan berhubung laporan polis oleh pendakwah bebas, Dr Zakir Naik, yang mendakwa mereka memfitnahnya.

Selain Kulasegaran, beliau berkata, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius, juga diminta hadir ke Bukit Aman mengikut jadual ditetapkan sebelum ini.

Hari ini, polis juga selesai mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees, berhubung perkara sama di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, jam 1.15 tengah hari tadi.

“Kita sudah merakam keterangan Satees dan Ramasamy di Pulau Pinang. Selesai proses itu, kita akan mengambil kenyataan tiga lagi individu (Kulasegaran, Charles dan Dennis) di Bukit Aman, minggu ini, mengikut jadual sudah ditetapkan.

“Kita akan menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh merangkumi semua sudut,” katanya kepada BH, hari ini.

Huzir sebelum ini dilaporkan berkata, notis pemberitahuan untuk individu terbabit hadir ke Bukit Aman, sudah diserahkan sejak minggu lalu.

Beliau dipetik sebagai berkata, polis akan memastikan kesemua mereka hadir untuk direkod percakapan bagi membolehkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan sebelum ia diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Pada 16 Ogos lalu, Dr Zakir membuat laporan di Balai Polis Komuniti Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, terhadap lima individu terbabit yang didakwa memfitnahnya.

898 dibaca
Berita Harian X