Rabu, 11 September 2019 | 2:52pm
Seorang hakim mahkamah syariah direman selama lima hari selepas ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi selepas disyaki menerima suapan RM4,000 bagi melepaskan kes khalwat seorang pegawai polis di Mahkamah Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Hakim Syarie, Lans Koperal ditahan kes rasuah

IPOH: Seorang Hakim Syarie di sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi, kerana disyaki menerima suapan RM4,000 untuk melepaskan kes khalwat membabitkan seorang Inspektor yang dalam perbicaraan.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Desa Chemor, dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam.

Seorang Lans Koperal berusia 30 tahun yang disyaki bersubahat dalam perbuatan itu, turut ditahan di tempat anggota polis terbabit bertugas di Balai Polis Bukit Merah pada jam 1.45 pagi tadi.

Kedua-duanya direman selama lima hari bermula hari ini hingga Ahad, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.


Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal direman selama lima hari selepas ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi kerana disyaki bersubahat menerima suapan RM4,000 bagi melepaskan kes khalwat seorang pegawai polis di Mahkamah Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Permohonan reman itu dibuat di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Ipoh, N Mageswari.

Hakim Syarie itu diwakili peguam, Dayang Noremilia Azman Shah, manakala anggota polis terbabit diwakili oleh Vivien Mitchiel Benedict.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba dengan menaiki sebuah kenderaan dan dibawa ke kamar mahkamah kira-kira jam 11.10 pagi sebelum keluar dua jam kemudian.

5056 dibaca
Berita Harian X