Rabu, 11 September 2019 | 1:08pm

Budak perempuan mati dipercayai didera

MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dipercayai didera secara fizikal dan seksual, di sebuah rumah di Kandang, di sini, semalam.

Kanak-kanak berkenaan dikatakan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka kira-kira jam 2 pagi, dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan suami isteri yang juga pengasuhnya.

Difahamkan, kanak-kanak itu dijaga pengasuhnya sejak akhir Julai lalu selepas diserahkan ibu saudaranya.

Sumber berkata, sebaik tiba di unit kecemasan, pegawai perubatan cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tidak dapat diselamatkan.

“Bagaimanapun berdasarkan kesan lebam dan parut di kepala serta paha kanak-kanak itu dipercayai didera.


SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman. - Foto Rasul Azli Samad

“Susulan itu, pasangan suami isteri berusia 45 dan 36 tahun ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris mengesahkan kejadian dan penahanan dua suspek.

“Kita masih menunggu laporan proses bedah siasat ke atas kanak- kanak itu yang dijalankan hari ini.

“Kedua-dua suspek pula dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

4779 dibaca
SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X