Rabu, 11 September 2019 | 7:32am

Restoran terkenal ceroboh tanah kerajaan akhirnya dirobohkan

KLANG: Tepat jam 12.10 tengah malam tadi, sebuah restoran terkenal berhampiran Bulatan Bukit Raja, di sini, dirobohkan sepenuhnya selepas hampir 20 tahun beroperasi di kawasan itu.

Operasi perobohan Restoran Berkeley Corner bermula kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang dengan dibantu anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

PTD Klang dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap struktur restoran itu dilaksanakan berikutan pencerobohan tanah kerajaan membabitkan sebahagian rizab jalan dan rizab Lebuh Raya Persekutuan.

“Tindakan diambil selaras perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 19 Julai lalu yang memutuskan pihak plaintif perlu merobohkan struktur bangunan di atas tapak terbabit dalam tempoh satu bulan dan jika gagal, pihak plaintif perlu menanggung kos perobohan berkenaan.

“Justeru, pihak Pentadbir Tanah Klang mengeluarkan satu notis peringatan pada 26 Ogos lalu bertempoh tujuh hari kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak berkenaan.


PEJABAT Tanah dan Daerah (PTD) Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) merobohkan struktur binaan sebuah restoran berhampiran Bulatan Bukit Raja. - Foto Saddam Yusoff

“Susulan kegagalan dan keengganan pemilik struktur mengosong dan merobohkan struktur bangunan itu, satu tindakan penguatkuasaan dijalankan pada hari ini (semalam),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pencerobohan tanah kerajaan adalah satu kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, beberapa video tular melalui media sosial yang mendakwa berlaku kekecohan dan pergaduhan bagi menghalang kerja perobohan berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, yang turut berada di lokasi mengesahkan tiada kekecohan berlaku dan keadaan terkawal.

“Operasi perobohan dilakukan oleh PTD, manakala polis hanya membantu. Tiada kekecohan dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga tidak digunakan.

“Kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan seramai 170 pegawai dan anggota, termasuk Unit Tempur Ringan (LSF),” katanya.

Tinjauan BH di lokasi pula mendapati operasi berjalan lancar dengan bantuan polis yang membuat kawalan keselamatan di kawasan terbabit.

Namun, proses perobohan itu menyebabkan lalu lintas di Lebuh Raya Persekutuan dari Shah Alam menghala ke pusat bandar Klang agak sesak, khususnya di kawasan berhampiran restoran terbabit, hingga kira-kira jam 10 malam.


PEJABAT Tanah dan Daerah (PTD) Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) merobohkan struktur binaan sebuah restoran berhampiran Bulatan Bukit Raja. - Foto Saddam Yusoff

Segelintir orang awam turut dilihat memberhentikan kenderaan di tepi jalan, selain berkumpul di lokasi untuk menyaksikan operasi berkenaan.

Polis juga menutup jalan di bulatan terbabit bagi membolehkan kerja perobohan berjalan lancar, termasuk memudahkan pergerakan jentolak dan lori mengangkut keluar struktur restoran yang dirobohkan.

BH difahamkan ketika kerja perobohan dijalankan, tiada pelanggan atau peniaga berada di dalam premis kerana operasi perniagaan tamat jam 5 petang.

Sebelum ini, usaha merobohkan restoran terbabit gagal apabila cuba dihalang oleh beberapa pihak, termasuk berlaku insiden kekecohan pada Ogos 2017 sehingga ia terpaksa ditangguhkan.

PEJABAT Tanah dan Daerah (PTD) Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) merobohkan struktur binaan sebuah restoran berhampiran Bulatan Bukit Raja. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X