Isnin, 9 September 2019 | 11:45am
Laporan dalam BH Online.

Ganggu teman wanita suspek dipercayai motif kes bunuh, bakar

KOTA BHARU: Polis tidak menolak kemungkinan pemuda yang dibunuh dan dibakar dalam kejadian di Pasir Puteh, Rabu lalu, kerana mengganggu teman wanita salah seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, berkata bagaimanapun siasatan terperinci masih dijalankan.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan 11 individu termasuk empat wanita menerusi serbuan kelmarin hingga semalam bagi membantu siasatan.

“Penahanan kesemua individu berusia antara 16 hingga 55 tahun itu dilakukan secara berasingan sekitar Pasir Puteh dan daerah berhampiran.

“Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berpunca daripada mangsa mengganggu teman wanita salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Wan Khairuddin berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa mati akibat pukulan objek tumpul di bahagian kepala selain beberapa tikaman di bahagian badan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pemuda berusia 20-an ditemui terapung dalam anak sungai dengan keadaan badan terbakar di Kampung Puyu, dekat Pasir Puteh, Rabu lalu.

Penduduk yang menemui mayat mangsa pada jam 3 petang memaklumkan kepada pihak polis.

Berita Harian X