Ahad, 8 September 2019 | 6:00pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - NSTP/Rosli Ahmad

Pemandu lori koma elak mat rempit

BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori cedera parah dan koma apabila kenderaannya terbabas kerana mengelak kumpulan mat rempit di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal polis mendapati empat penunggang motosikal dipercayai terbabit dalam kejadian itu kira-kira jam 2 pagi.

Kumpulan penunggang motosikal itu berusia antara 15 hingga 25 tahun menunggang motosikal dengan memintas di bahagian hadapan lori dipandu mangsa, berdekatan kawasan plaza tol BORR arah Sungai Dua.

Katanya kumpulan terbabit dikesan menunggang secara melulu dengan bersaing sesama sendiri.

“Mereka menunggang dengan cara membongkokkan badan yang mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Ketika berlumba mereka juga bertindak mencelah di hadapan kenderaan lain termasuk sebuah lori tangki sehingga menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan lalu merempuh pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, akibat kejadian itu pemandu lori itu koma dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Noorzainy berkata, penunggang terbabit melarikan diri sebelum diberkas sepasukan pegawai dan anggota Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU sejurus kejadian.

“Mereka ditahan ketika sedang berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Bagan Ajam.

“Kesemua mereka ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X