Jumaat, 6 September 2019 | 8:18pm

Suami belasah isteri tak izin pulang rumah mentua

MARANG: Seorang lelaki memukul isterinya menggunakan batang besi mop lantai hingga cedera di kepala selepas mendapati isterinya berada di rumah keluarga mentua di Kampung Durian Tinggi, Bukit Payung, di sini, pada 30 Ogos lalu.

Lelaki terbabit yang gagal melunaskan hutang mas kahwinnya sebelum itu menghalang isterinya pulang ke rumah bapa wanita itu yang terletak bersebelahan rumahnya.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 29 tahun dan suaminya berada di rumah mereka kira-kira jam 7 petang.

“Ketika di rumah terbabit, berlaku perselisihan antara mangsa dengan suaminya susulan wanita terbabit meminta kebenaran pergi ke rumah ayahnya di sebelah rumah mereka.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak mengizinkan dan memberi amaran mahu menjatuhkan talak tiga terhadap isterinya jika pergi ke rumah ayahnya,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata, wanita itu tidak mengendahkan arahan suami dan terus pergi ke rumah ayahnya.

“Ketika berada di rumah bapanya, secara tiba-tiba lelaki terbabit datang membawa besi mop lantai dan terus memukul di bahagian kepala isterinya hingga berdarah.

“Lelaki itu juga mengambil batang kayu untuk memukul isterinya, tetapi mangsa sempat melarikan diri bagi mendapatkan pertolongan jiran sebelum suspek beredar,” katanya.

Susulan kejadian itu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Bukit Payung, pada jam 8.25 malam, Selasa lalu untuk tindakan lanjut.

“Malah, mangsa juga mendakwa mahu menuntut hutang mas kahwin daripada suaminya yang gagal dilunaskan ketika mereka berkahwin,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Amran @ Mohd Zaki Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Mangsa mengalami luka kecil di bahagian kepada sudah menerima rawatan dan kini ditempatkan di wad sebagai pesakit luar.

“Kita masih mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah tangga 1994,” katanya.

Berita Harian X