Khamis, 5 September 2019 | 1:28pm

Semua arahan Jho Low dapat restu Najib - Amhari

KUALA LUMPUR: Pembukaan akaun bank di Singapura dan Bangkok bagi tujuan dana politik, mendapat restu Datuk Seri Najib Razak berdasarkan jaminan yang diberikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, berkata beliau tidak mendapat arahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) ketika membuka akaun itu di BSI Singapura kerana hanya menurut arahan ketuanya, iaitu Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Saksi pendakwaan kelapan itu yang menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, berkata beliau tidak mengetahui sama ada Azlin membuat pemeriksaan (dengan Bank Negara) mengenai pembukaan akaun itu.

“Kami (bersama Azlin) pergi bersama dan menurut arahan Jho (yang diberikan di hotel)... Apa yang Datuk Azlin buat, saya ikut,” katanya.

Amhari Efendi berkata, beliau dan Azlin hanya mengikut arahan Jho Low untuk membuka akaun Bank BSI Switzerland di Singapura kerana Najib sudah sedia maklum berhubung perkara berkenaan.

Beliau juga tidak pernah bertanyakan hal itu kepada Najib kerana percaya apa yang disampaikan Jho Low sudah mendapat ‘restu’ bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee: Tidak terlintas di fikiran kamu bahawa apa yang kamu buat dengan pihak bank, kamu tidak boleh memalukan ‘bos’ kamu dengan tidak mengikut peraturan?

Amhari Efendi: Saya tidak jelas apa kebenaran yang diperlukan tetapi walau apa pun arahan Jho Low mendapat restu daripada Datuk Seri Najib Razak. Akaun itu dibuka pada tahun 2012 dan BNM ada laporan kepada Menteri Kewangan, jadi beliau (Najib) mesti menyedarinya.

Muhammad Shafee: Kamu tidak beritahu dia (Najib) yang kamu buka akaun ini?

Amhari Efendi: Tidak. Jho Low memberikan jaminan bahawa semuanya adalah teratur dan mendapat kebenaran Perdana Menteri.

Muhammad Shafee: Jadi kamu bertindak berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Jho Low saja?

Amhari Efendi: Ya, bukan hanya beliau... Datuk Azlin adalah bos saya, beliau arif mengenai pelaburan bank.

Muhammad Shafee: “You percaya bulat-bulat. Kamu tidak pernah buat pengesahan mengenai arahan itu daripada Najib?

Amhari Efendi: Saya hanya pegawai junior, bukan senang mahu jumpa Najib. Datuk Azlin pengarah saya.

Sementara itu, Amhari Efendi berkata, arahan dan kata-kata Jho Low mengenai pembukaan akaun di luar negara bukan perkara merepek kerana beliau tidak arif mengenai dana politik dan hanya mengikut arahan atasan.

Katanya, beliau menurut arahan Jho Low kerana khuatir sekiranya ia tidak dipatuhi dirinya akan terancam.

Amhari bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau dalam keadaan takut dengan ancaman Jho Low terhadap keluarga dan kerjayanya.

“Saya mengikuti setiap arahan kerana Jho Low mendesak dan meyakinkan saya bahawa semua diatur dengan baik.

“Semua persetujuan mengenai pembukaan akaun dituruti kerana mengikut apa yang dilakukan Datuk Azlin,” katanya dalam prosiding perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Disoal Muhammad Shafee berhubung pengertian ancaman yang didakwa datangnya daripada Jho Low dan pihak atasan seperti Perdana Menteri, Amhari Efendi berkata;

“Pada saya ancaman hidup itu bukan saja nyawa tetapi ia meliputi kehidupan saya termasuk kerjaya. Lagipun Perdana Menteri mempunyai kuasa besar.”

Disoal sama ada desakan dan ancaman itu datang daripada Perdana Menteri atau sebaliknya, saksi itu berkata, ia bukan secara terus daripada Perdana Menteri tetapi apa yang disampaikan Jho Low itu dalam keadaan mendesak apatah lagi ahli perniagaan itu sudah mendapat ‘restu’ Najib.

Sementara itu, Amhari Efendi tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa sejumlah wang lebih AS$800,000 dimasukkan ke akaunnya bukan dana politik seperti dalam keterangannya sebelum ini.

Amhari hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Najib Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X