Rabu, 4 September 2019 | 8:52pm

Mayat lelaki dengan kesan terbakar dalam anak sungai

PASIR PUTEH: Mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemui terapung dalam anak sungai berdekatan jambatan Kampung Puyu, Jalan Semerak, di sini, jam 3 petang tadi.

Mayat ditemui penduduk kampung, dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak.

Difahamkan mayat berkenaan mempunyai kesan terbakar terutama di bahagian muka dan ditemui hanya berseluar pendek tanpa baju.

Mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai berusia 20-an dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Penduduk kampung, Mohamad Zainun Hassan, 60, berkata laluan anak sungai di lokasi berkenaan agak sunyi kerana berdekatan ladang kelapa sawit.

“Setakat ini saya tidak mendengar sebarang kehilangan penduduk kampung dan ini kali pertama mayat ditemui di kampung ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, maklumat lanjut akan diberikan selepas selesai urusan bedah siasat ke atas mayat berkenaan.

Anggota polis bersama pasukan APM mengangkat mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemui terapung dalam anak sungai berdekatan jambatan Kampung Puyu, Jalan Semerak, Pasir Puteh. - NSTP/Nor Amalina Alias
Berita Harian X