Rabu, 4 September 2019 | 4:57pm
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah. - Foto Zain Ahmed

Pelajar maut digilis lori

PASIR GUDANG: Seorang pelajar perempuan maut selepas motosikal yang ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum digilis sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Kota Tinggi - Johor Bahru, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi tadi, mangsa, Nurul Atika Muchsolihin, 18, maut di lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya mengesahkan satu kes kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal yang menyebabkan satu kematian.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Ulu Tiram ke arah Johor Jaya.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika mangsa menunggang di lorong kanan tiba-tiba motosikalnya hilang kawalan lalu mangsa terjatuh di bawah sebuah lori jenis Nissan yang berada di laluan tengah.

“Pemandu lori berusia 71 tahun yang beralamat di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, dekat sini, tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa.

“Akibat kemalangan terbabit, mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 1 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu atau menunggang di jalan raya terutama waktu cuaca hujan dan utamakan keselamatan,” katanya.

Berita Harian X