Rabu, 4 September 2019 | 3:08pm
JAMALUDIN dan isteri, Rapidah yang maut dilanggar lari Kilometer 99.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara. NSTP/Nor Farhani Che Ad

'Mama cakap nak pergi jauh'

SUNGAI PETANI: “Malam kelmarin, mama ada cakap ayah, mama dan adik nak pergi jauh. Rupa-rupanya itu tanda ayah dan mama mahu meninggalkan kami,” kata Nura’fifatul Akmal Jamaludin, 17.

Nura’fifatul adalah anak pasangan Jamaludin Musa, 51, dan isterinya, Rapidah Ahmad@Abdullah, 46, yang maut selepas dilanggar lori di Kilometer 99.3, Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Plaza Tol Sungai Petani Utara di sini, malam tadi.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang lagi anak pasangan itu yang juga adik bongsu Nura’fifatul, Muhammad A’tiqullah, 9, parah.


JENAZAH Jamaludin dan isterinya, Rapidah yang maut dilanggar lari Kilometer 99.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara malam tadi dibawa keluar dari bilik jenazah untuk dibawa pulang kampung halaman, Kampung Banggol Kiat, Sik untuk dikebumikan. NSTP/Nor Farhani Che Ad

Nura’fifatul berkata, pada mulanya dia tidak memikirkan apa-apa yang pelik kerana ibu bapanya turut memaklumkan mereka mahu menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di Sungai Petani.

“Ayah, mama dan adik ke Sungai Petani kelmarin, kerana mahu menziarahi keluarga sepupu ayah di Pantai Prai, malah mereka sempat berjumpa abang, Muhammad Taqiuddin, 21, di Bakar Arang, petang semalam.

“Selepas berjumpa abang, mereka ke rumah bapa saudara di Bandar Perdana sebelum bertolak balik ke rumah kami di Pekan Langgar, kira-kira jam 10.30 malam tadi,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Dalam kejadian pada jam 11.50 malam itu, motosikal ditunggang tiga beranak itu dikatakan dilanggar lori ketika cuba menukar laluan dari susur kiri arah plaza tol ke laluan kiri lebuh raya.

Nura’fifatul berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 3.30 pagi, sebelum dibawa saudara ke HSAH bagi melihat keadaan ibu bapa dan adik bongsunya.

“Pada mulanya saya ingat mama dan ayah hanya cedera sebab saya dibawa ke wad kecemasan, namun terkejut apabila mendengar ayah saudara memberitahu dia perlu pulang segera ke Sik bagi urusan pengebumian.

“Ketika itu baharu saya sedar kata-kata mama kelmarin yang berkata mahu pergi jauh, dia seolah-olah sudah tahu akan pergi meninggalkan kami adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, keadaan A’tiqullah yang parah masih kritikal dan terpaksa dipindahkan dari HSAH ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pagi tadi, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pihak polis juga dalam usaha mengesan lori yang melanggar mangsa berikutan pemandunya melarikan diri sejurus kejadian.

Berita Harian X