Rabu, 4 September 2019 | 1:18pm

Terkejut baki akaun AS$884,996.78

KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, terkejut apabila mengetahui baki akaunnya di dalam BSI Switzerland pada 2016 berjumlah AS$884,996.78.

Amhari Efendi berkata, beliau hanya mengetahui mengenai baki akaunnya itu selepas dihubungi BSI Switzerland yang bertanya sama ada beliau mengetahui mengenai baki akaunnya.

“Saya menjawab tidak tahu. Pegawai bank itu beritahu kepada saya bahawa wang di dalam akaun berjumlah AS$884,996.78... Saya terkejut kerana tidak tahu apa pun mengenai kemasukan wang ke dalam akaun saya.

“Saya minta pegawai bank itu memberi pandangan mengenai kemasukan wang ke dalam akaun dan beliau menyatakan akan menghubungi saya semula.

“Pada satu masa yang lain pula, saya dihubungi pegawai daripada bank BSI dan diberitahu bahawa hubungan saya dengan bank itu akan ditamatkan dan saya dikehendaki memindahkan wang itu sama ada kepada satu syarikat di bawah nama saya atau akaun lain di bawah nama saya.

“Saya merujuk perkara ini kepada Jho Low kerana pada terdapat arahan untuk berhubung dengannya sekiranya terdapat apa-apa persoalan mengenai akaun itu,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Berikutan itu, Amhari Efendi berkata, Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho, kemudian mengarahnya membuka akaun bank di Shanghai dan beliau menurut arahan itu, dengan dibantu secara peribadi oleh ahli perniagaan itu.

“Saya tidak ingat nama bank itu... Jho Low turut berada bersama saya ketika proses permohonan pembukaan akaun tetapi beliau beritahu permohonan tidak berjaya tetapi tidak beritahu alasan.

“Jho Low juga mengarahkan saya ke Bangkok bagi membuka akaun di Kasikorn Bank... Dia beritahu, saya akan dibantu seorang warga Thailand yang juga kenalannya (bukan pegawai bank) tetapi saya tidak ingat nama.

“Seingat saya, nama beliau ada pada borang permohonan pembukaan akaun itu sebagai ‘introducer’... Proses permohonan di Bangkok berjaya dibuka masa itu juga,” katanya.

Sementara itu, Amhari Efendi berkata bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, pernah berpesan kepadanya supaya tidak menggunakan wang yang dimasukkan ke dalam akaun yang baharu dibuka atas nama mereka berdua.

Amhari Efendi yang memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan kelapan, berkata arwah memberikan pesanan itu kerana wang berkenaan bukan milik mereka berdua.

Saksi itu berkata, akaun baharu itu pula dikawal dan diuruskan oleh Jho Low sejak ia dibuka dan mereka berdua (Amhari Efendi dan Azlin) hanya mengetahui mengenai ‘perjalanan’ akaun itu apabila diberitahu Jho Low.

Amhari Efendi berkata, Jho Low bagaimanapun hanya memberitahu berhubung akaun itu secara dasar saja tanpa memberikan mereka peluang untuk bertanya dengan lebih lanjut.

Selepas kematian Azlin pada 4 April 2015 dalam nahas helikopter yang menggemparkan negara, Amhari Efendi berkata, beliau runsing memikirkan masalah akaun bank BSI di Singapura kerana ia sentiasa dipantau dan dikawal Jho Low.

Amhari Efendi juga memberitahu Mahkamah Tinggi yang terdapat pinjaman berjumlah AS$6 bilion yang dimohon menerusi usaha sama antara syarikat 1MDB dan Aabar Investments PJS (Aabar).

Saksi itu berkata demikian selepas mengesahkan dokumen bertarikh 5 Februari 2015 mengandungi data pinjaman yang dikemaskini Najib, yang dirujuk Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi berkata, dokumen itu berada dalam simpanan beliau dan berkemungkinan Azlin pernah memintanya untuk menyimpan dokumen itu selepas perjumpaan mereka dengan Jho Low.

“Atau barangkali dokumen itu ada dalam simpanan saya di mana ia tidak dilupuskan.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat menjelaskan kandungan dokumen itu secara terperinci kerana kebanyakan isu 1MDB dibincangkan secara terus di antara Jho Low dan Datuk Azlin manakala saya lebih kepada orang yang menemukan mereka dan menemani Datuk Azlin saja,” katanya.

BEKAS Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika ditemui Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X