Rabu, 4 September 2019 | 12:51pm
SEORANG lelaki warga Bangladesh dibunuh dipercayai selepas bergaduh hanya kerana air minuman kucing dekat Jalan 1/19 Petaling Jaya. - Foto ihsan polis

Mati dibunuh hanya kerana air minum kucing

PETALING JAYA: Hanya kerana terkena percikan air yang disediakan untuk kucing, lelaki Indonesia menikam sehingga mati seorang warga Bangladesh di hadapan sebuah rumah dekat Jalan 1/9 Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Md Atas Ali ditemui mati di hadapan rumah banglo berkenaan akibat cedera ditikam di belakang badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata siasatan mendapati air yang dijirus mangsa untuk minuman 12 kucing peliharaannya terpercik kepada suspek, lalu berlaku pergaduhan sebelum warga Bangladesh itu maut ditikam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Zani berkata, pihaknya dihubungi seorang wanita pada jam 9.10 malam memberitahu seorang lelaki Bangladesh terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah rumah kerana dipukul.

“Siasatan mendapati lokasi kejadian adalah sebuah rumah banglo satu tingkat yang diubah suai menjadi bilik sewa. Terdapat empat bilik tidur dan disewa oleh beberapa warganegara asing.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui tompokan darah di hadapan bilik dalam rumah itu dipercayai akibat pergaduhan mangsa dengan suspek serta merampas beberapa bahan bukti termasuk puntung rokok, sarung pisau, baju, seluar dan tiga cap jari,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Beliau berkata, anggota forensik yang membuat siasatan di lokasi turut memperoleh butiran suspek yang dikenali sebagai Hardianto, warganegara Indonesia.

Katanya, suspek dan ibunya dikenali sebagai Asniyah Asrawi melarikan diri selepas kejadian.

“Temu bual bersama jiran memberitahu rumah berkenaan dimiliki seorang wanita tempatan yang sudah meninggal dunia dan tidak diketahui siapa pewarisnya.

“Penghuni yang menyewa di situ membayar duit sewa kepada ibu suspek,” katanya.

Beliau berkata, usaha memburu suspek dan ibunya giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X