Rabu, 4 September 2019 | 9:17am
MAYAT Mohd Shahril Bashir dijumpai penduduk kampung yang membantu pencarian di pesisir Pantai Namamun, Rampaian Laut, kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. - Foto Recqueal Raimi

Tragedi bot karam: Lelaki hilang ditemui lemas

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama bapanya dipukul ombak besar di Pantai Batu Gadung, Tamau, Kota Belud, semalam, ditemui lemas, malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah, Kepten Maritim Asmawati Mohd Tujeri, berkata mayat Mohd Shahril Bashir, 28, dijumpai penduduk kampung yang membantu pencarian di pesisir Pantai Namamun, Rampaian Laut, kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Malaysia menerima panggilan kira-kira jam 7.50 malam memaklumkan mangsa sudah dijumpai penduduk kampung.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Belud untuk pengecaman dan tindakan lanjut.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 8.30 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, aktiviti dua-beranak keluar menangkap ikan itu bertukar tragedi apabila Mohd Shahril dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas, manakala bapanya terselamat selepas bot dinaiki mereka dipukul ombak besar pada jarak 100 meter dari Pantai Batu Gadung.

Maritim Sabah mengaktifkan operasi SAR pada jam 8.30 pagi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.05 pagi, dengan antara lain turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. – BERNAMA

Berita Harian X