Isnin, 2 September 2019 | 10:53am
PRESIDEN Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto Aziah Azmee

Bukit Aman panggil Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan memanggil Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam, esok untuk memberi keterangan berhubung laporan analisis video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata laporan analisis oleh syarikat Verden Forensics itu dikemukakan Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, baru-baru ini.

Menurut laman web Verden Forensics, syarikat berpangkalan di Birmingham, United Kingdom itu menjalankan analisis forensik dalam bidang multimedia dan peranti mudah alih bagi kes jenayah, sivil serta sektor swasta.

Huzir berkata, laporan analisis berkenaan sudah dihantar ke CyberSecurity Malaysia untuk diteliti.

“Lokman akan dipanggil esok untuk memberi keterangan manakala kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita menerima beberapa arahan lanjut berhubung kes itu manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 377B dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, pihaknya turut membuka siasatan terhadap beberapa kes mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan AKMM 1998 sejak 11 Jun lalu.

Mengulas isu pemilik akaun Facebook ‘Sir Azri’ mempertikaikan kes mangsa buli jalan raya, Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir, pemilik akaun terbabit, Wan Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, sudah dipanggil memberi keterangan.

“Polis menunggu laporan analisis digital ke atas barang kes dan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“Bagi perkembangan dua kes membabitkan Dr Zakir Naik, polis sudah memanggil pendakwah itu dan beberapa saksi memberi keterangan.

“Taklimat sudah diberi kepada pejabat Peguam Negara dan kita menunggu keputusan serta arahan seterusnya,” katanya.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan setiausaha dan pengerusi Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) serta timbalan menteri pendidikan membabitkan isu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan Dong Zong sebagai rasis,

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara.

“Polis juga mengambil keterangan ahli perniagaan, Koon Yew Yin, yang membuat komen negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ketika ini, kita menunggu laporan dan analisis digital daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum merujuk kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara,” katanya.

Berita Harian X