Ahad, 1 September 2019 | 8:23pm
Keadaan motosikal yang ditunggang Mohd Yusri Ibrahim selepas dirempuh sebuah kereta di jalan Persiaran Bandar Puteri Jaya. - NSTP/Ihsan Pembaca

Bapa hantar makanan kepada anak maut kemalangan

SUNGAI PETANI: Perjalanan seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) menghantar makanan tengah hari kepada anaknya menjadi yang terakhir apabila terbunuh dalam kemalangan di Jalan Bandar Puteri Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari, mangsa, Mohd Yusri Ibrahim, 44, yang cacat pendengaran dan bisu meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta.

Adik mangsa, Mohd Saiful, 43, berkata abangnya dalam perjalanan menghantar makanan tengah hari kepada anaknya, Mohamad Nor Yazid, 12, yang juga OKU yang tinggal bersama ibu mereka di taman perumahan itu.

Mohamad Nor Yazid menunjukkan gambar ayahnya yang maut dalam kemalangan jalan raya di jalan Persiaran Bandar Puteri Jaya. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Beliau berkata berkata abangnya sempat singgah ke kedai dobi tempat dia bekerja sebelum pulang menghantar nasi kepada anaknya di rumah.

“Dia hanya memberhentikan motosikalnya di hadapan kedai sebelum memberitahu mahu pulang menghantar makanan tengah hari buat Mohamad Nor Yazid.

“Saya tidak menyangka pertemuan itu adalah kali terakhir sebelum saya diberitahu dia terbabit dalam kemalangan jalan raya tidak jauh dari kedai dobi,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, dalam satu kenyataan berkata ketika kejadian motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa dipercayai keluar dari simpang secara tiba-tiba.

“Sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya ke Taman Hillpark tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X