Ahad, 1 September 2019 | 2:53pm
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuantan membawa mangsa lemas ketika mandi Air Terjun Berkelah, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur. - Ihsan Bomba Pahang

Dua pelajar ditemui lemas di air terjun

KUANTAN: Dua pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Pahang ditemui lemas di Air Terjun Berkelah, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua mangsa dikatakan sedang mandi di aras satu air terjun tujuh tingkat terbabit ketika kejadian berlaku jam 10.13 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata mayat kedua-dua mangsa dijumpai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 12.36 tengah hari tadi.

“Pihak bomba menerima maklumat daripada rakan mangsa mengenai kejadian itu. Susulan itu, seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Taman TAS bersama anggota PPDA Kuantan dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pencarian menggunakan teknik ‘water rescue’ oleh pasukan PPDA,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Berita Harian X