Sabtu, 31 Ogos 2019 | 7:18pm
Anggota bomba giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk menggunakan dua bot. - Ihsan Bomba

Dua beradik dikhuatiri lemas

SEPANG: Dua beradik dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa, Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, dan abangnya, Muhammad Hafiz, 14, mandi di muara itu bersama empat yang lain.

Difahamkan, empat mangsa terselamat masing-masing dua lagi adik beradik serta sepupu mereka yang sempat menyelamatkan diri.

Dua adik mangsa yang selamat ialah Muhammad Al Hakim, 9, dan Muhammad Alif Haikal, 7; manakala dua sepupu mereka ialah Muhammad Ferdaus Rizwan Mohd Khairilnizam, 11, dan adiknya Muhammad Luqman, 7.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Azrul Faizal Maarif, berkata kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir ketika mandi di sungai berkenaan lalu dibawa arus ketika itu air sudah mula pasang.

Katanya, bomba menerima panggilan pada jam 3.37 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.


Bomba menerima panggilan pada jam 3.37 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian. - Ihsan Bomba

Dua beradik dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, jam 3.30 petang tadi. - Ihsan Bomba

Katanya, seramai lapan anggota bomba kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk menggunakan dua bot.

“Operasi mencari dijalankan di sepanjang Sungai Sepang dan sekiranya tidak ditemui, operasi akan ditangguhkan pada jam 8 malam sebelum disambung semula pada jam 7 pagi esok,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Azrul Faizal berkata, operasi SAR turut membabitkan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta dibantu penduduk kampung.

Berita Harian X