Sabtu, 31 Ogos 2019 | 5:52pm
Seorang wanita warga India ditemui mati di sekitar kawasan lobi sebuah kondominium di Mont Kiara, di Kuala Lumpur, hari ini. - Ihsan PDRM

Wanita mati jatuh kondominium

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga India ditemui mati di sekitar kawasan lobi sebuah kondominium di Mont Kiara, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 55 tahun dipercayai terjatuh dari unit kondominium anaknya kira-kira jam 9 pagi tadi.

Katanya, ia mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa bersama suaminya datang ke Malaysia dua minggu lalu untuk melawat cucu mereka di Mont Kiara.

“Anak mangsa turut memaklumkan sebelum kejadian, ibunya masuk ke bilik tidur dan mengunci pintu dari dalam.

“Selepas membuka pintu bilik, anaknya mendapati mangsa tiada dalam bilik dan dimaklumkan oleh pengawal keselamatan ibunya terjatuh dipercayai dari unit kondominium mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengesahkan tiada unsur jenayah membabitkan insiden berkenaan.

Berita Harian X