Jumaat, 30 Ogos 2019 | 11:33am

Suspek bunuh suami isteri direman seminggu

SHAH ALAM: Dua beradik yang menjadi suspek utama kes pembunuhan pasangan suami isteri yang mayat mereka disumbat dalam beg, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Terdahulu, suspek yang juga warga India, masing-masing berusia 19 dan 25 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah Shah Alam pada jam 9.30 pagi.

Difahamkan, kedua-dua suspek itu yang ditahan petang semalam di sekitar Kota Kemuning, dekat sini, bekerja sebagai pengawal keselamatan pusat beli-belah di Subang Jaya.

Mereka juga dipercayai menjadi penyewa kondominium milik mangsa, Lim Ah Kee@Lim Kok Hoe, 79, dan isterinya, Tan Siew Mee, 52.

Isnin lalu, mayat Siew Mee, yang berkerja sebagai pengurus restoran ditemui disumbat dalam beg pakaian dan dicampak dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, dekat sini.


Gambar fail, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menunjukkan gambar mangsa, Tan Siew Mee, 52, ditemui mati di dalam beg pakaian dan dibuang ke dalam longkang di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 pada 26 Ogos lalu. Suami mangsa, Lim Ah Kee @ LIm Kok Hoe, 79, dikehendaki bagi membantu siasatan pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Dua beradik yang menjadi suspek utama kes pembunuhan pasangan suami isteri yang mayat mereka disumbat dalam beg, direman tujuh hari di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Siraj Zaini

Petang semalam, mayat suaminya, Ah Kee turut ditemui disumbat dalam beg pakaian dan dicampak dalam longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, kira-kira tiga kilometer dari penemuan mayat isterinya.

Dalam sidang media semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil bedah siasat mendapati Siew Mee

mati akibat kecederaan daripada beberapa tikaman di abdomen selain mempunyai kesan kelar di lehernya, dipercayai dengan menggunakan senjata tajam.

Katanya, bedah siasat yang dilakukan Selasa lalu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, mendapati tubuh mangsa ditikam sebanyak 13 kali sekitar dada serta perut dan dikelar di leher.

Mayat Ah Kee dipercayai akan menjalani proses bedah siasat pagi ini di hospital sama.

Dua beradik yang menjadi suspek utama kes pembunuhan pasangan suami isteri yang mayat mereka disumbat dalam beg, direman tujuh hari bermula hari ini. - Foto Siraj Zaini
Berita Harian X