Selasa, 27 Ogos 2019 | 11:16am
Mayat Julia Purnama diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto Khalid Latip

Mayat timbul selepas bacaan Yasin

SIBU: Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Rajang pada Ahad lalu, ditemui lemas, malam tadi.

Mayat Julia Purnama Opriadi, 7, dijumpai penduduk kampung kira-kira 100 meter (m) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Lebih memilukan apabila mayat mangsa diambil sendiri oleh bapanya, Opriadi Sukardi, yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung sejak hari pertama kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penemuan mayat kanak-kanak itu dimaklumkan oleh bapa mangsa yang menghubungi bilik kawalan bomba pada jam 11.30 malam.

Sejurus menerima panggilan itu, katanya, bomba bergegas ke lokasi sebelum menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kami difahamkan bahawa penduduk membaca Yasin beramai-ramai sebelum mencurahkan air bacaan surah itu di tempat kejadian dan menunggu di situ.

“Tidak lama kemudian, mayat kanak-kanak itu timbul kira-kira 100m dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. Bapa mangsa sendiri yang mengambil mayat itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Ahad lalu, kanak-kanak itu bersama bapanya dan dua sepupu mangsa, Alit Aiman, 10, serta Mohamad Azrul Ashraf, 7, dilaporkan mandi di sungai terbabit.

Mangsa dan Alit dilaporkan berenang di sungai sebelum kedua-duanya dilihat terkapai-kapai.

Alit kemudian berjaya diselamatkan, namun kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang.

Berita Harian X