Selasa, 27 Ogos 2019 | 11:15am
SOLAT hajat dilakukan di kawasan pesisir pantai bagi memudahkan pencarian mangsa yang masih hilang. - Foto ihsan pembaca

Serik turun ke laut selepas saksi 2 beranak lemas

KUALA PENYU: “Saya sudah serik turun ke laut selepas melihat dua beranak lemas di depan mata,” kata Rosman Imbang, 40, yang menaiki bot bersama mangsa di perairan Labuan, kelmarin.

Rosman mengakui tidak menyangka perjalanan mereka bertiga untuk memancing di laut pagi itu berakhir dengan tragedi apabila rakannya, Jahar Asri, 50-an, hilang selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan anaknya, Izam, 20-an yang lemas dalam kejadian itu.

Mengimbas semula kejadian yang menimpa mereka, Rosman berkata, ia berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas laut dilihat bergelora dan cuaca kurang baik.

“Kami mengambil keputusan untuk berpatah balik dan ketika dalam perjalanan, Izam terpelanting ke dalam laut akibat dipukul ombak manakala enjin bot mati.

“Jahar cuba menyelamatkan anaknya dengan terjun ke laut dengan menggunakan gelen.

“Saya panik melihat mereka berdua meminta tolong dan disebabkan tiada pendayung, saya gunakan penutup tong ikan untuk mendayung menghampiri mereka yang berada kira-kira enam meter, namun semakin saya menuju ke arah mereka, perahu semakin jauh kerana ditolak ombak sehingga sejauh 18 meter.

“Selepas itu saya lihat badan Izam terapung manakala bapanya hilang. Saya kepenatan mendayung lalu berehat untuk stabilkan diri dan kemudian beberapa kali cuba mencapai tubuh Izam untuk dibawa naik ke dalam bot,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosman berkata, beliau melihat keadaan Izam seperti sudah tidak bernyawa dan cuba memberikan bantuan pernafasan sebanyak lima kali namun gagal sebelum bertindak menghubungi penduduk kampung untuk membantunya.

“Selepas kira-kira sejam, baru saya terima bantuan daripada penduduk kampung dan selepas kejadian itu, saya sedikit trauma kerana ia berlaku di hadapan mata saya,” katanya.

Beliau mengakui kesal kerana mereka tidak menggunakan sebarang peralatan keselamatan ketika berada di laut.

Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat Jahar oleh pasukan keselamatan memasuki hari ketiga hari ini.

Pelbagai usaha dilakukan selain melakukan pencarian di laut, penduduk kampung turut melakukan pencarian di pesisir laut serta melakukan solat hajat di kawasan berkenaan supaya mangsa ditemui.

Berita Harian X