Selasa, 27 Ogos 2019 | 10:26am

Identiti mangsa kemalangan dikenal pasti

SEREMBAN: Identiti semua mangsa termasuk tiga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban malam tadi, dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Muhammad Idham Baharudin dan rakan wanitanya yang juga pembonceng, Anismalina Jamaludin, 20,

Beliau berkata, seorang lagi yang maut ialah pemandu lori simen, V Ravendran, 26.

Katanya, dua mangsa yang cedera pula ialah penunggang motosikal, Abdul Hafis Suhaimi, 26, dan pemandu sebuah lagi lori, Darul Aman Ahmad, 38.

“Kemalangan jam 10 malam itu membabitkan empat kenderaan iaitu motosikal Yamaha Y15, motosikal Honda EX5, lori membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) dan lori simen.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Muhammad Idham dari Seremban ke Kajang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lorong kecemasan.

“Abdul Hafis yang berada di belakang berhenti dan memberi bantuan kepada penunggang serta pembonceng motosikal terbabit.

“Pemandu lori membawa muatan LPG turut menghentikan kenderaan di lorong kecemasan dengan niat untuk membantu kedua-dua mangsa terbabit.

“Bagaimanapun, sebuah lori simen melanggar lori berkenaan menyebabkan ia bergerak ke hadapan dan merempuh semua empat mangsa dan mengakibatkan muatan LPG itu berterabur di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, akibat rempuhan itu Muhammad Idham dan Anismalina meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa cedera.

“Pemandu lori simen (Ravendran) turut disahkan meninggal dunia. Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, untuk bedah siasat.

“Mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, sehingga pagi ini dua lorong masih ditutup untuk kerja mengalihkan kenderaan dan pembersihan.

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, malam tadi. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X