Ahad, 25 Ogos 2019 | 8:58pm
SEORANG lelaki ditemui lemas manakala bapanya hilang selepas bot mereka naiki dipukul ombak di perairan Labuan. - Foto ihsan pembaca

Anak lemas, bapa hilang di perairan Labuan

KUALA PENYU: Seorang lelaki ditemui lemas, manakala bapanya hilang selepas bot dinaiki mereka dipukul ombak di perairan Labuan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, Izam Jahar, 20-an disahkan meninggal dunia dan bapanya Jahar Asri, 50-an belum ditemui.

Seorang lagi rakan mereka Rosman Emang, 40, terselamat dalam kejadian itu.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mereka bertiga keluar memancing sebelum bot mereka dipukul ombak.

Keadaan itu menyebabkan Izam terjatuh ke dalam laut sebelum Jahar terjun untuk menyelamatkannya.

Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Hassan berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima panggilan kecemasan pada jam 10 pagi.

“Jahar dikatakan hilang selepas terjun ke laut bersama segelen air untuk menyelamatkan Izam yang terjatuh dari bot akibat dipukul ombak besar.

“Rakan mangsa memaklumkan, ketika kejadian dia cuba menghidupkan enjin bot mereka yang mati dan apabila berjaya dihidupkan, dia hanya menemui anak mangsa dalam keadaan terapung manakala mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamaruszaman berkata, Rosman membawa Izam ke darat untuk mendapatkan bantuan sebelum disahkan meninggal dunia.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 10.30 pagi tadi.

Kehilangan mangsa turut dimaklumkan kepada pihak lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Taman-Taman Sabah bagi membantu operasi SAR.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah turut memaklumkan pasukan bomba melakukan SAR di kawasan pesisir pantai.

Bagaimanapun usaha mencari mangsa gagal dan operasi ditangguhkan pada jam 5.27 petang dan akan disambung semula esok.

3424 dibaca
Berita Harian X