Ahad, 25 Ogos 2019 | 3:44pm
Choo Kiong (kiri) hari ini mengumumkan bercuti daripada tugasan rasminya sebagai ahli EXCO kerajaan negeri bagi memberi tumpuan kepada perbicaraan tuduhan kes merogol pembantu rumah yang dihadapinya. - NSTP/Muhaizan Yahya

EXCO Perak hadapi tuduhan rogol akhirnya bercuti

IPOH: Bendahari DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong, hari ini mengumumkan bercuti daripada tugasan rasminya sebagai ahli EXCO kerajaan negeri bagi memberi tumpuan kepada perbicaraan tuduhan kes merogol pembantu rumah yang dihadapinya.

Choo Kiong yang menyandang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, bagaimanapun akan meneruskan perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh.

“Keputusan ini dibuat bagi membolehkan saya membersihkan nama serta membuktikan bahawa saya tidak bersalah.

“Saya sudah mengarahkan peguam saya untuk memohon kepada mahkamah agar mempercepat tarikh perbicaraan seawal mungkin, supaya saya boleh segera dilepaskan daripada tuduhan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Choo Kiong, 49, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh mengikut Seksyen 376 kanun keseksaan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat sini, antara jam 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan menasihatkan Choo Kiong untuk bercuti daripada tugas rasmi, termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang membabitkan proses membuat keputusan, sehingga proses perbicaraan selesai, sebagai menghormati proses undang-undang.

Choo Kiong berkata, keputusan bercuti itu dibuat kerana mengutamakan kepentingan negeri lebih daripada kepentingan peribadi, sebagaimana prinsip yang dipegang selama ini sebagai ahli politik.

Sehubungan itu, beliau akan memaklumkan keputusan itu kepada Ahmad Faizal hari ini.

“Saya sekali lagi menafikan dakwaan tidak berasas terhadap saya ini. Saya menganggap (kes) ini adalah konspirasi politik buruk terhadap saya dan memberi tekanan kepada saya, keluarga dan rakan saya,” katanya.

Berita Harian X