Sabtu, 24 Ogos 2019 | 11:52pm
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. - Foto Abdullah Yusof

Rokok seludup, minuman keras lebih RM5 juta dirampas

KUALA LUMPUR: Rokok seludup serta minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM5 juta dirampas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dalam dua operasi berbeza di Kajang, Selangor dan Sabah, pada 20 dan 21 Ogos lalu.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA menahan tujuh lelaki tempatan di Kajang, pada 21 Ogos lalu dipercayai ahli sindiket pengedaran rokok seludup.

Katanya, tangkapan terhadap suspek berusia 39 hingga 61 tahun itu berjaya merampas 28,879 karton rokok putih dan kretek pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM4,375,072 selepas cukai.

Katanya, turut dirampas empat lori dan tiga kereta jenis Mercedes Benz E200, Proton Waja dan Toyota Vios bernilai RM235,000 menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4,610,072.

“Sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sekitar Lembah Klang. Semakan turut mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Semua suspek direman enam hari sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Sekyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di Kampung Pinawantai Matunggong, Sabah pada 20 Ogos lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas 590 bungkus rokok putih serta 696 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama selepas menahan dua lelaki menerusi Op Landai Khas.

Acryl Sani berkata, rampasan dibuat susulan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan kampung terbabit sebelum menjumpai barangan tidak dibayar cukai.

Katanya, dua lelaki berusia 44 dan 31 tahun ditahan serta merampas tiga unit telefon pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Isuzu DMAX serta satu anak kunci dengan nilai rampasan selepas cukai taksiran berjumlah RM70,980.

“Berpandukan maklumat daripada kedua-dua suspek itu, PPM membuat pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di tepi Jalan Sikuati, Kudat dan menemui 8,130 bungkus rokok putih serta 2,232 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama.

“Turut dirampas sebuah beg jenama Gucci, wang tunai RM18,000 dan satu unit telefon bimbit. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM500,980,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Polis Daerah (IPD) Kudat untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

312 dibaca
Berita Harian X