Sabtu, 24 Ogos 2019 | 3:30pm
Keadaan kereta Perodua Myvi mangsa yang kemalangan kira-kira jam 10.40 malam tadi di Kilometer 57 Chalok Kedai, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. - NSTP/Ihsan Pembaca

Pelajar politeknik maut, 4 cedera kereta rempuh rumah kedai

PERMAISURI: Seorang pelajar Politeknik Kota Bharu, Kelantan, maut dan empat lagi cedera, termasuk seorang parah, apabila kereta dinaiki mereka terbabit nahas di Kilometer 57 Chalok Kedai, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 10.40 malam, Muhammad Ameerul Hadeem Muhammad Ameen, 20, beralamat di Kampung Bayam, Kota Bharu, disahkan meninggal dunia di lokasi nahas.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Perodua Myvi dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu cuba memotong kereta di hadapan.

“Bagaimanapun, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh rumah kedai kosong menyebabkan kenderaan itu remuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera pula turut dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan.

“Mangsa yang parah ialah penumpang belakang, Alif Zikri Mohd Nizam, 20, beralamat di Taman Puchong Utama, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zull Azman Jamaludin, berkata seramai 17 pegawai dan anggota daripada BBP terbabit dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setiba di lokasi, semua mangsa didapati masih berada di dalam kenderaan dan kami menggunakan peralatan khas mengumpil pintu kereta bagi mengeluarkan mereka.

“Proses membawa keluar semua mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit. Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Setiu dengan ambulans,” katanya.

Berita Harian X