Sabtu, 24 Ogos 2019 | 1:39pm
Keadaan kereta yang dipandu Shirley Unding maut dalam satu kemalangan di kilometer 77, Jalan Persisir Pantai Miri - Bintulu. - NSTP/Erika George

Ibu maut nahas, tak sempat bagi sokongan untuk anak

MIRI: Hasrat seorang ibu hadir sama dalam Kursus Motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai tanda sokongan untuk anaknya di sebuah sekolah rendah di Suai, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 77, Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu, semalam.

Dalam nahas jam 9.50 pagi itu, mangsa, Shirley Unding, 29, meninggal dunia selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Klinik Kesihatan Batu Niah.

“Ketika kejadian, kereta PROTON Saga yang dipandu mangsa dari arah Miri ke Bintulu hilang kawalan lalu masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang bergerak laju.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa remuk teruk pada bahagian hadapan manakala lori terbabit terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu lori berkenaan tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Mayat mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri, untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian X