Jumaat, 23 Ogos 2019 | 10:44pm
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. - Foto Hafiz Sohaimi

Henti jejas ketenteraman awam, keselamatan negara

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai supaya menghentikan serta merta semua bentuk tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan termasuk perhimpunan aman.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata tindakan akan diambil ke atas penganjur dan peserta perhimpunan yang bertindak dalam apa juga cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beliau turut memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memainkan isu sensitif yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

“Sejak kebelakangan ini, terkesan isu sensitif dimainkan pihak tidak bertanggungjawab di pelbagai platform komunikasi dan laman sosial.

“Tindakan itu jelas sekali mampu mengganggu gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima 69 laporan berhubung isu bendera diterbalikkan dan sebanyak sembilan kertas siasatan sudah dibuka.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Katanya, kesemua kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.

“Berhubung isu ceramah Dr Zakir Naik, sehingga kini 515 laporan diterima dan sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Beberapa saksi berkaitan sudah dipanggil memberi keterangan, siasatan hampir dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Larangan daripada meneruskan sebarang aktiviti ceramah sehingga siasatan selesai juga dikeluarkan dan Dr Zakir akur dengan arahan untuk tidak lagi meneruskan siri jelajah atau ceramah di seluruh negara,” katanya.

Abdul Hamid berkata, sebanyak 24 laporan polis diterima berhubung isu tulisan khat atau jawi dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh USJT Bukit Aman.

“Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim dan Setiausaha persatuan, Ng Chai Heng sudah dipanggil untuk dirakam percakapan dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X