Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:24pm

Polis tahan penganjur perhimpunan bantahan di Brickfields

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua individu untuk dirakam keterangan berhubung penganjuran perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil di Little India, Brickfields di sini, hari ini.

Dua lelaki terbabit ditahan selepas peserta perhimpunan itu diminta bersurai oleh polis kira-kira pada jam 7.30 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata perhimpunan itu diadakan tanpa mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dua lelaki itu ditahan untuk direkod percakapan mereka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya kepada pemberita di lokasi perhimpunan, di sini, hari ini.

Arifai berkata, perhimpunan yang bermula pada jam 7 malam itu dianggarkan dihadiri kira-kira 500 peserta.

“Polis tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan atas sebab keselamatan dan tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku serta akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Perhimpunan bagaimanapun berlangsung dengan aman. Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, kita sudah minta orang ramai untuk bersurai dengan segera.

“Laluan yang sebelum ini ditutup dan dilencongkan akan kembali dibuka untuk aliran trafik,” katanya.

Berita Harian X