Jumaat, 23 Ogos 2019 | 5:42pm

Jangan sebar berita palsu, Brickfields terkawal, selamat - Polis

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh mencetuskan kegusaran masyarakat.

Ia susulan tersebarnya satu mesej berbaur amaran mengatakan akan berlaku kekecohan di kawasan Little India, Brickfields sehingga ke kawasan Nu Sentral pada malam ini dan esok, yang disebarkan melalui media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe dalam kenyataan hari ini, memberitahu pihaknya maklum dengan penularan berita palsu berkenaan.

“Mesej yang tular mengatakan akan ada keadaan yang tidak menyenangkan di kawasan Little India, Brickfields pada 23 dan 24 Ogos itu adalah tidak benar.

“Keadaan adalah selamat dan terkawal. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya serta menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran dalam masyarakat,” katanya.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Semalam, tular satu mesej mendakwa kemungkinan berlaku rusuhan bermula di kawasan Little India hingga ke Nu Sentral.

Penyebaran berita palsu itu dipercayai berikutan penganjuran dua perhimpunan di kawasan Water Fountain Little India, Brickfields pada hari ini dan esok.

Perhimpunan Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil dijadual berlangsung pada jam 7 malam ini, manakala perhimpunan Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Other Races dijadual berlangsung pada jam 2 petang esok.

Berita Harian X